JANGAN TERKEJUT, JANGAN PANIK
Oleh Akhi Masrawi
BEBERAPA bulan yang lalu saya dan isteri telah singgah di sebuah restoran di Pekan Kuah untuk makan malam. Sebulan kemudian kami singgah lagi dengan memakan makanan yang sama di restoran yang sama tetapi harganya jauh berbeza. Pelayan yang datang memaklumkan harga kepada saya menarik muka cuka lagaknya bila saya katakan "awak salah kira agaknya". Saya yang ketika itu sedang HOT bergerak ke kaunter untuk menanyakan apa mungkin juruwang telah salah mengira harga makanan kami.
Sampai sahaja di kaunter, rupanya resit makanan kami di restoran itu masih ada. Saya meneliti harga setiap order. Akhir saya menegur dengan bahasa yang sangat lembut.
"Kak, adakah harga nasi putih 2 pinggan RM4?"
Si juruwang meneliti resit itu kembali dan menjawab "Nasi Paprik"
"Tapi saya tak makan nasi paprik, saya makan nasi putih."
"Si pelayan menghampir dan mengiyakan kata-kata saya." Dalam hati tergerak rasa wajarkah saya hendak menipu?
"Oh nasi putih, maaflah tulisan tak boleh baca."
Kemudian saya pun membayarkan harga makanan yang telah kami makan. Biarpun masih ada rasa tidak puas hati tetapi saya rasa lega saya betul dan mereka salah.
Isteri yang setia menanti di meja bersuara "Berapa? Betul?"
"Betul" Kata saya.
"Mahalnya!" Balas dia.
Kami kemudian bangkit dari kerusi dan menuju ke kereta. Selepas masuk ke dalam kereta saya menerangkan kepadanya kesilapan harga pada nilai nasi putih 2 pinggan berbanding nilai nasi paprik sepinggan.
"Apa yang betulnya? Salah lah tu."
"Betul lah, harga dah naik." Kami ketawa.
Itu cerita lama.
Ini cerita baru.
Jam 11 tadi saya ke sebuah restoran pula di Pekan Padang Matsirat. Saya telah mengambil makanan yang biasanya saya beli pada harga kurang RM10. Bila sahaja saya hendak membayar Puan yang barangkali taukeh restoran itu pun bersuara:
"Hari ini beras naik harga lagi."
Saya hanya tersenyum.
"Beli makan di kedai sahajalah, tak payah masak. Barang sekarang ni mahal." Saran Taukeh Restoran itu.
"Kadang-kadang memasak juga," balas saya.
"Kami yang berniaga ni dah tak tahu nak letak harga berapa."
"Dulu 10kg boleh dapat RM19, sekarang dah tak dapat. Dah dua kali naik ni."
Saya yang sudah agak lama tidak membeli beras pun terkejut. terakhir saya beli semasa hendak ke rumah mertua. Itu pun gaji bulan lepas. Gaji bulan ini belum lagi membeli keperluan dapur untuk dibawa ke sana.
Rumah kami masih ada sedikit. Beli pun yang 5kg. Jarang-jarang memasak sejak isteri semakin hampir bersalin.
"Berapa?"
Ternyata duga saya tidak meleset. Dulu tak sampai RM10 tapi sekarang dah lebih.
Lauk yang sama, nasi yang sama, air yang sama. Harga pula ekstra.
Saya pun menghulurkan wang membayar. Di riak muka puan itu nampak dia bersahaja menyebutkan harga. Mungkin itulah harganya. Makanya saya lah yang terkejut.
BAITUL IZZAH
Posted at 4/28/2008 3:29:30 pm by akhimasrawi
Permalink