PERKEMBANGAN PENULISAN NOVEL CINTA DAN RONA KINANAH
Oleh Akhi Masrawi
NOVEL adalah genre penulisan kreatif yang baru saya hendak ceburi. Peralihan daripada kebiasaan menulis cerpen, rencana dan puisi kepada novel adalah sesuatu yang agak berat kepada penulis seperti saya yang tidak mendapat bimbingan khusus teknik penulisan novel.
Pun begitu, saya optimis pengalaman adalah guru yang sangat bermakna. Pengalaman menulis perlu digilap dengan asuhan. Ini yang selalunya ditekankan kepada kebanyakan penulis novel supaya nanti hasil penulisan akan lestari dan menyerlah.
Saya sebaliknya. Saya belajar secara senyap dan menulis pun secara lambat. Saya tidak mendapat bimbingan khusus yang selalunya kebanyakan penulis mahu. Tentulah nanti saya akan lebih takut bila novel itu nanti dipublikasi oleh penerbitan.
Novel Cinta dan Rona Kinanah yang sedang saya bikin sudah sampai 20% dikarang. Plot dan penceritaan hampir sempurna tetapi belum dikarang sahaja lagi. Saya yakin dengan kesungguhan saya novel itu akan menemui peminat tidak lama lagi.
Persoalannya sekarang ialah... siapa yang akan menerbitkan novel penulis baru? Ia risiko besar. Kebanyakan penerbit hanya mahukan penulis yang sudah ada nama di persada penulisan. Tetapi saya yakin dengan tawaran Pustaka Yamien yang bersungguh-sungguh hendak menerbitkan novel sulung saya itu yang pada asalnya cinta sufiah (tetapi terbengkalai).
Jumaat lepas, Us. Muzammil datang bertemu dengan saya. Nah, kesungguhan seperti ini yang menyebabkan saya rasa malu dan takut. Malu kerana saya ini siapa, dan takut kerana hendak menyiapkan pada masa yang sepatutnya. Sedangkan kita masing-masing tahu... ini kerja kreatif yang bukan boleh dibuat cincai. Ini kerja kreatif yang bukan boleh dibuat sehari. Ini kerja kreatif yang perlu masa.... supaya hasilnya nanti jika tidak sehebat Novel Ayat-ayat Cinta pun biarlah tidak hanya dipandang sebelah mata. Saya berani kerana ada dorongan. Dorongan itu yang akan melahirkan karya saya. Saya percaya pada apa yang sedang saya usahakan ini akan mempercambahkan lagi novel-novel islami di pasaran.
Ini novel cinta bukan? Ya.... cinta dan novel tidak akan dapat dipidahkan seperti cinta dan kehidupan yang akan sentiasa bersama sepanjang hayat.
Akhi Masrawi
Baitul Izzah.