-  
muka utama intro ku kenali ku arkib catatan terbaik puisi anjung tamu... isi jangan tak isi , biar dapat isi, jangan dapat biji..

Akhi Masrawi, seorang penulis bebas yang meluahkan pandangan dan idea seputar genre kreatif dan non-kreatif. Merakamkan catatan jalan hidup menerusi persepsi kendiri. Melakarkan penulisan sebagai komentar sosial, siasah, jagat, budaya, sejarah serta perspektif ad-Deen. Mengungguli sastera dan pemikiran. Pernah merentasi lorong akademik di SKUM (1987-1992), ALMAAD (1992-1999) dan Universiti Al Azhar As Syarif (1999-2003) dalam Fakulti Syariah wal-Qanun. Menulis untuk laman peribadi sejak Jun 2002. Hasil karyanya banyak tersiar di laman maya. Turut menerbitkan karyanya ialah beberapa majalah seperti Dewan Siswa, Majalah i, Dewan Agama & Falsafah dan lain-lain. Terlibat menyumbang karya untuk beberapa Antolgi Cerpen seperti Antologi AKAR, Mansurah dan Cinta Dan Rona Kinanah. Kini berkhidmat sebagai pendidik di utara tanahair. Menyimpan impian bakal lahir sebagai seorang penulis prolifik sekaligus pendidik unggul suatu hari nanti.

-Akhi Masrawi -

   
<< June 2008 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30
If you want to be updated on this weblog Enter your email here:

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:


Ini Versi 3.0

 

 

 

 

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Katakanlah wahai Muhammad): Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Mekah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan Yang Menguasai segala-galanya dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya." (An-Naml: 91)

Monday, June 16, 2008
MIN HUNA ILA HUNAK 17

CATATAN PEMBAKAR SEMANGAT

Catatan ke-326

Oleh Akhi Masrawi

SEBELUM ini saya tidak tahupun yang Zaid Akhtar pernah menulis tentang AKHI MASRAWI di Tunas Cipta sehinggalah saya menemui artikel yang ditulisnya menerusi carian google di internet. Sekarang saya hendak berkonsikan catatan itu dengan rakan-rakan pembaca dan sekaligus menjadi pembakar semangat saya.

Saya juga dalam usaha hendak menjalin semula silaturrahim dengan rakan-rakan penulis seangkatan mahupun yang tidak seangkatan sebagai pembakar semangat dan motivasi buat diri untuk menyiapkan novel Cinta dan Rona Kinanah.

Salam penulisan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tuesday, January 24, 2006

KEBANGKITAN PENULIS TIMUR TENGAH :
SATU SOROTAN RINGKAS
Oleh Zaid Akhtar

MUTAKHIR ini, arena persuratan tanah air semakin meriah dengan kemunculan penulis-penulis muda. Baik yang sudah lama mencipta nama mahupun yang baru pertama kali karyanya tersiar, tulisan ‘orang muda’ kian mendapat tempat di pelbagai media cetak.

Di kalangan puluhan penulis muda yang hadir memeriahkan persada sastera tanah air, sebenarnya terdapat sekelompok penulis muda yang berlatarbelakangkan pengajian agama dan pernah menuntut di Timur Tengah. Mereka ini – waima yang masih bergelar mahasiwa atau sudah bergelar graduan – datang dari dua ardhul anbiya’, iaitu Mesir dan Jordan. Kehadiran para penulis muda keluaran Timur Tengah ini wajar diperhatikan memandangkan kuantiti karya mereka dan kualitinya yang tidak boleh diremehkan.

Walaupun kurang mendapat perhatian sewajarnya sebelum ini, sebuah antologi cerpen berjudul Sinar di Horizon Nil yang menghimpunkan karya-karya penulis Malaysia di Universiti al-Azhar telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di bawah selenggaraan graduan al-Azhar sendiri – Noor Kartina Haji Tawang dan Rosdi Abdullah – pada tahun 1997. Namun sejurus pelancaran antologi bersejarah itu, arena penulisan kreatif di Perlembahan Nil seakan-akan lesu seketika sebelum menjelangnya alaf baru yang lebih menjanjikan.

Jika diteliti, terdapat beberapa faktor yang merangsang pertumbuhan penulis muda di Mesir, antaranya kewujudan suara-suara kampus yang menjadi wadah utama penulisan mereka. Hampir setiap persatuan anak negeri dan cawangan universiti yang menempatkan pelajar Malaysia mempunyai buletin atau majalah yang diterbitkan secara berkala. Justeru, di sinilah medan para penulis mengasah bakat dan menajamkan pena masing-masing terlebih dahulu sebelum memberanikan diri mengirimkan karya ke media perdana.

Di samping itu, iklim penulisan di sana juga sentiasa terangsang natijah pergaulan harian para penulis dengan masyarakat antarabangsa terutamanya bangsa Arab. Mereka ketara lebih sensitif dengan isu antarabangsa dan Islam sejagat bersandarkan kedudukan geografi justeru mandala Timur Tengah sememangnya terkenal sebagai rantau yang sentiasa bergolak. Selain sesekali mengadakan sayembara penulisan kecil-kecilan, mereka turut mewujudkan kem-kem penulisan kreatif dan nonkreatif secara intensif dan konsisten.

Apabila membicarakan tentang kehadiran penulis Timur Tengah, pastinya nama Mohd Nazmi Yaakub menjadi sebutan para pemerhati sastera. Selain kejayaan membanggakan beliau muncul pemenang ketiga peraduan Novel Alaf Baru anjuran DBP lewat novelnya Merentas Sungai Sejarah, Nazmi yang kini bertugas sebagai wartawan di Berita Harian juga sebenarnya boleh dianggap perintis kepada kebangkitan semula penulis-penulis muda dari al-Azhar pada alaf baru. Kesungguhan dan ketekalan beliau bukan sekadar dalam berkarya, tetapi juga dalam membentuk dan ‘mengasuh’ kelompok calon penulis baru sepanjang pengajiannya di sana.

Malah hasil idea dan inisiatif beliau sendiri, Kem Latihan Penulis (KELAP) ditubuhkan sekitar tahun 2001 di bawah naungan PMRAM. Lalu berlandaskan platform KELAP, Nazmi yang bergelar Penulis Muda Terbaik Kelantan 2003 sanggup berkelana ke serata Mesir untuk mengadakan bengkel penulisan bagi membimbing calon-calon penulis di sana. Berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman, beliau menukangi karya penulis-penulis baru dan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

Antara penulis yang lahir pasca penubuhan KELAP seperti Amiza Khusyri Yusof, Al Marjan Yusof, Akhi Masrawi, Ubaidillah Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad, Nor Suriana Abdul Razak dan Masrati Mohamad. Ada karya mereka yang berjaya menembusi Berita Minggu beberapa kali, malah kebanyakannya semakin kerap tersiar di Tunas Cipta, Anis, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Majalah I dan pelbagai majalah lagi.

Biarpun tidak dibiayai sesiapa, para penulis al-Azhar wajar diberikan pujian kerana berani menerbitkan sendiri novel karya mereka di sana. Sebagai contoh, Faizah Othman gigih menerbitkan dua novelnya, Lakaran Sahrawi dan Jejak di Thur Sina, sementara Amiza Khusyri menampilkan novel sulungnya Sejernih Salsabila dengan duit poketnya sendiri. Malah Mohd. Rafizi Dollah berusaha menterjemah sebuah novel Islamik Turki berjudul Maria ke bahasa Melayu. Selain itu, Nazmi juga bertindak menerbitkan antologi cerpen Pijar Kinanah yang mewakili para penulis al-Azhar yang seangkatan dengannya dengan sokongan kuat PMRAM.

Sementara negara Jordan yang subur setakat ini sekadar menetaskan dua orang penulis. Selain Zaid Akhtar yang sehingga kini sudah menyumbangkan dua buah novel, Azman Ahmad penulis muda graduan Bahasa Arab Universiti Mu’tah juga harus diberikan perhatian. Meskipun baru menerjuni bidang sastera, cerpen sulung Azman ternyata berkualiti apabila berjaya merangkul hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 baru-baru ini.

Susutnya penulis-penulis dari Dataran Syam ini mungkin berpunca daripada kemerosotan jumlah penuntut Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke sana. Jumlah yang sedikit pastinya memberi impak kepada penerbitan buletin suara kampus yang menjadi wadah utama untuk penulis mengasah bakat sebagaimana di Mesir. Ketiadaan program terancang seperti KELAP turut merencatkan kelahiran calon penulis yang berbakat dan berminat dengan karya kreatif.

Walaupun kuantiti karya para penulis berpendidikan Timur Tengah masih relatif kecil berbanding karya-karya penulis berpendidikan tempatan, namun karya mereka kebanyakannya intim dengan isu semasa dan antarabangsa, berlatarkan luar negara, terpelihara moralnya, kaya dengan unsur tauhid, rohaniah dan dakwah, menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan pastinya berdenyut selari dengan nafas Islami. Latar belakang kebanyakannya yang mendalami bidang Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab mewajarkan karya yang dihasilkan lebih rencam tetapi sentiasa murni, didaktik, terkawal dan berteraskan agama.

Justeru, kehadiran kelompok yang berlabel ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ ini adalah sangat baik demi memperkasakan sastera Islam di Malaysia, apatah lagi selepas tragedi 11 September 2001.

(dipetik dari Tunas Cipta, November 2005)

Posted at 6/16/2008 3:46:39 pm by akhimasrawi

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan


hakcipta terpelihara 2005 - http://www.akhimasrawi.blogdrive.com/