-  
muka utama intro ku kenali ku arkib catatan terbaik puisi anjung tamu... isi jangan tak isi , biar dapat isi, jangan dapat biji..

Akhi Masrawi, seorang penulis bebas yang meluahkan pandangan dan idea seputar genre kreatif dan non-kreatif. Merakamkan catatan jalan hidup menerusi persepsi kendiri. Melakarkan penulisan sebagai komentar sosial, siasah, jagat, budaya, sejarah serta perspektif ad-Deen. Mengungguli sastera dan pemikiran. Pernah merentasi lorong akademik di SKUM (1987-1992), ALMAAD (1992-1999) dan Universiti Al Azhar As Syarif (1999-2003) dalam Fakulti Syariah wal-Qanun. Menulis untuk laman peribadi sejak Jun 2002. Hasil karyanya banyak tersiar di laman maya. Turut menerbitkan karyanya ialah beberapa majalah seperti Dewan Siswa, Majalah i, Dewan Agama & Falsafah dan lain-lain. Terlibat menyumbang karya untuk beberapa Antolgi Cerpen seperti Antologi AKAR, Mansurah dan Cinta Dan Rona Kinanah. Kini berkhidmat sebagai pendidik di utara tanahair. Menyimpan impian bakal lahir sebagai seorang penulis prolifik sekaligus pendidik unggul suatu hari nanti.

-Akhi Masrawi -

   
<< December 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31
If you want to be updated on this weblog Enter your email here:

Capaian Alternatif

Capaian Arkib:


Ini Versi 3.0

 

 

 

 

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani"

Firman Allah SWT: "Katakanlah wahai Muhammad): Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Mekah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan Yang Menguasai segala-galanya dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya." (An-Naml: 91)

Tuesday, August 12, 2008
HIJRAH MENJELANG RAMADHAN

Oleh Akhi Masrawi

HIJRAH adalah kalimah yang merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad SAW dan Umat Islam pada era pra penubuhan Negara Islam Madinah. Dalam sejarah Islam sebenarnya hijrah bukan semata-mata hijrah yang itu. Tetapi setiap umat Islam akan merujuk kepada Hijrah yang itu bila memperkatakan persoalan hijrah.

Konsep Hijrah terus subur sehingga ke hari ini dan hari-hari akan datang. Cumanya adakah kita masih bersedia ke arah pengamalan konsep hijrah itu?

Jika dilihat dengan teliti, hijrah yang dari Mekah ke Madinah itu tidak akan berlaku lagi. Tetapi konsep hijrah yakni perubahan terus perlu dihayati.

Saya mengambil keputusan membuka satu lagi Blog yang dinamakan BLOG AKHIMIZI :: Persepsi & Realiti :: di http://akhimizi.blogspot.com/ bukan kerana hendak berhijrah tetapi kerana tujuan membuka lembaran baru tentang persepsi dalam dunia pendidikan.

Di MASRAWI Online ini, saya akan tetap menulis. Tetapi mungkin tidaklah aktif kerana perlu mengurus 2 blog. Akan tetapi, penulisan akan terus hidup dalam diri saya. Walau apapun ceritanya, yang pasti jari terus mengetik papan kekunci dan mata pena terus menuliskan cerita.

Jangan lupa menziarahi blog baru saya. BLOG AKHIMIZI :: Persepsi & Realiti ::

Salam penulisan.

myakhimizi@yahoo.com YM id: mypujangga

 


Posted at 8/12/2008 1:30:04 pm by akhimasrawi
Comment (1)  

Sunday, July 06, 2008
MIN HUNA ILA HUNAK 18

PERKEMBANGAN PENULISAN NOVEL CINTA DAN RONA KINANAH

Oleh Akhi Masrawi

NOVEL adalah genre penulisan kreatif yang baru saya hendak ceburi. Peralihan daripada kebiasaan menulis cerpen, rencana dan puisi kepada novel adalah sesuatu yang agak berat kepada penulis seperti saya yang tidak mendapat bimbingan khusus teknik penulisan novel.

Pun begitu, saya optimis pengalaman adalah guru yang sangat bermakna. Pengalaman menulis perlu digilap dengan asuhan. Ini yang selalunya ditekankan kepada kebanyakan penulis novel supaya nanti hasil penulisan akan lestari dan menyerlah.

Saya sebaliknya. Saya belajar secara senyap dan menulis pun secara lambat. Saya tidak mendapat bimbingan khusus yang selalunya kebanyakan penulis mahu. Tentulah nanti saya akan lebih takut bila novel itu nanti dipublikasi oleh penerbitan.

Novel Cinta dan Rona Kinanah yang sedang saya bikin sudah sampai 20% dikarang. Plot dan penceritaan hampir sempurna tetapi belum dikarang sahaja lagi. Saya yakin dengan kesungguhan saya novel itu akan menemui peminat tidak lama lagi.

Persoalannya sekarang ialah... siapa yang akan menerbitkan novel penulis baru? Ia risiko besar. Kebanyakan penerbit hanya mahukan penulis yang sudah ada nama di persada penulisan. Tetapi saya yakin dengan tawaran Pustaka Yamien yang bersungguh-sungguh hendak menerbitkan novel sulung saya itu yang pada asalnya cinta sufiah (tetapi terbengkalai).

Jumaat lepas, Us. Muzammil datang bertemu dengan saya. Nah, kesungguhan seperti ini yang menyebabkan saya rasa malu dan takut. Malu kerana saya ini siapa, dan takut kerana hendak menyiapkan pada masa yang sepatutnya. Sedangkan kita masing-masing tahu... ini kerja kreatif yang bukan boleh dibuat cincai. Ini kerja kreatif yang bukan boleh dibuat sehari. Ini kerja kreatif yang perlu masa.... supaya hasilnya nanti jika tidak sehebat Novel Ayat-ayat Cinta pun biarlah tidak hanya dipandang sebelah mata. Saya berani kerana ada dorongan. Dorongan itu yang akan melahirkan karya saya. Saya percaya pada apa yang sedang saya usahakan ini akan mempercambahkan lagi novel-novel islami di pasaran.

Ini novel cinta bukan? Ya.... cinta dan novel tidak akan dapat dipidahkan seperti cinta dan kehidupan yang akan sentiasa bersama sepanjang hayat.

Akhi Masrawi

Baitul Izzah.


Posted at 7/6/2008 2:49:04 pm by akhimasrawi
Comment (1)  

Monday, June 16, 2008
MIN HUNA ILA HUNAK 17

CATATAN PEMBAKAR SEMANGAT

Catatan ke-326

Oleh Akhi Masrawi

SEBELUM ini saya tidak tahupun yang Zaid Akhtar pernah menulis tentang AKHI MASRAWI di Tunas Cipta sehinggalah saya menemui artikel yang ditulisnya menerusi carian google di internet. Sekarang saya hendak berkonsikan catatan itu dengan rakan-rakan pembaca dan sekaligus menjadi pembakar semangat saya.

Saya juga dalam usaha hendak menjalin semula silaturrahim dengan rakan-rakan penulis seangkatan mahupun yang tidak seangkatan sebagai pembakar semangat dan motivasi buat diri untuk menyiapkan novel Cinta dan Rona Kinanah.

Salam penulisan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tuesday, January 24, 2006

KEBANGKITAN PENULIS TIMUR TENGAH :
SATU SOROTAN RINGKAS
Oleh Zaid Akhtar

MUTAKHIR ini, arena persuratan tanah air semakin meriah dengan kemunculan penulis-penulis muda. Baik yang sudah lama mencipta nama mahupun yang baru pertama kali karyanya tersiar, tulisan ‘orang muda’ kian mendapat tempat di pelbagai media cetak.

Di kalangan puluhan penulis muda yang hadir memeriahkan persada sastera tanah air, sebenarnya terdapat sekelompok penulis muda yang berlatarbelakangkan pengajian agama dan pernah menuntut di Timur Tengah. Mereka ini – waima yang masih bergelar mahasiwa atau sudah bergelar graduan – datang dari dua ardhul anbiya’, iaitu Mesir dan Jordan. Kehadiran para penulis muda keluaran Timur Tengah ini wajar diperhatikan memandangkan kuantiti karya mereka dan kualitinya yang tidak boleh diremehkan.

Walaupun kurang mendapat perhatian sewajarnya sebelum ini, sebuah antologi cerpen berjudul Sinar di Horizon Nil yang menghimpunkan karya-karya penulis Malaysia di Universiti al-Azhar telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di bawah selenggaraan graduan al-Azhar sendiri – Noor Kartina Haji Tawang dan Rosdi Abdullah – pada tahun 1997. Namun sejurus pelancaran antologi bersejarah itu, arena penulisan kreatif di Perlembahan Nil seakan-akan lesu seketika sebelum menjelangnya alaf baru yang lebih menjanjikan.

Jika diteliti, terdapat beberapa faktor yang merangsang pertumbuhan penulis muda di Mesir, antaranya kewujudan suara-suara kampus yang menjadi wadah utama penulisan mereka. Hampir setiap persatuan anak negeri dan cawangan universiti yang menempatkan pelajar Malaysia mempunyai buletin atau majalah yang diterbitkan secara berkala. Justeru, di sinilah medan para penulis mengasah bakat dan menajamkan pena masing-masing terlebih dahulu sebelum memberanikan diri mengirimkan karya ke media perdana.

Di samping itu, iklim penulisan di sana juga sentiasa terangsang natijah pergaulan harian para penulis dengan masyarakat antarabangsa terutamanya bangsa Arab. Mereka ketara lebih sensitif dengan isu antarabangsa dan Islam sejagat bersandarkan kedudukan geografi justeru mandala Timur Tengah sememangnya terkenal sebagai rantau yang sentiasa bergolak. Selain sesekali mengadakan sayembara penulisan kecil-kecilan, mereka turut mewujudkan kem-kem penulisan kreatif dan nonkreatif secara intensif dan konsisten.

Apabila membicarakan tentang kehadiran penulis Timur Tengah, pastinya nama Mohd Nazmi Yaakub menjadi sebutan para pemerhati sastera. Selain kejayaan membanggakan beliau muncul pemenang ketiga peraduan Novel Alaf Baru anjuran DBP lewat novelnya Merentas Sungai Sejarah, Nazmi yang kini bertugas sebagai wartawan di Berita Harian juga sebenarnya boleh dianggap perintis kepada kebangkitan semula penulis-penulis muda dari al-Azhar pada alaf baru. Kesungguhan dan ketekalan beliau bukan sekadar dalam berkarya, tetapi juga dalam membentuk dan ‘mengasuh’ kelompok calon penulis baru sepanjang pengajiannya di sana.

Malah hasil idea dan inisiatif beliau sendiri, Kem Latihan Penulis (KELAP) ditubuhkan sekitar tahun 2001 di bawah naungan PMRAM. Lalu berlandaskan platform KELAP, Nazmi yang bergelar Penulis Muda Terbaik Kelantan 2003 sanggup berkelana ke serata Mesir untuk mengadakan bengkel penulisan bagi membimbing calon-calon penulis di sana. Berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman, beliau menukangi karya penulis-penulis baru dan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

Antara penulis yang lahir pasca penubuhan KELAP seperti Amiza Khusyri Yusof, Al Marjan Yusof, Akhi Masrawi, Ubaidillah Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad, Nor Suriana Abdul Razak dan Masrati Mohamad. Ada karya mereka yang berjaya menembusi Berita Minggu beberapa kali, malah kebanyakannya semakin kerap tersiar di Tunas Cipta, Anis, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Majalah I dan pelbagai majalah lagi.

Biarpun tidak dibiayai sesiapa, para penulis al-Azhar wajar diberikan pujian kerana berani menerbitkan sendiri novel karya mereka di sana. Sebagai contoh, Faizah Othman gigih menerbitkan dua novelnya, Lakaran Sahrawi dan Jejak di Thur Sina, sementara Amiza Khusyri menampilkan novel sulungnya Sejernih Salsabila dengan duit poketnya sendiri. Malah Mohd. Rafizi Dollah berusaha menterjemah sebuah novel Islamik Turki berjudul Maria ke bahasa Melayu. Selain itu, Nazmi juga bertindak menerbitkan antologi cerpen Pijar Kinanah yang mewakili para penulis al-Azhar yang seangkatan dengannya dengan sokongan kuat PMRAM.

Sementara negara Jordan yang subur setakat ini sekadar menetaskan dua orang penulis. Selain Zaid Akhtar yang sehingga kini sudah menyumbangkan dua buah novel, Azman Ahmad penulis muda graduan Bahasa Arab Universiti Mu’tah juga harus diberikan perhatian. Meskipun baru menerjuni bidang sastera, cerpen sulung Azman ternyata berkualiti apabila berjaya merangkul hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 baru-baru ini.

Susutnya penulis-penulis dari Dataran Syam ini mungkin berpunca daripada kemerosotan jumlah penuntut Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke sana. Jumlah yang sedikit pastinya memberi impak kepada penerbitan buletin suara kampus yang menjadi wadah utama untuk penulis mengasah bakat sebagaimana di Mesir. Ketiadaan program terancang seperti KELAP turut merencatkan kelahiran calon penulis yang berbakat dan berminat dengan karya kreatif.

Walaupun kuantiti karya para penulis berpendidikan Timur Tengah masih relatif kecil berbanding karya-karya penulis berpendidikan tempatan, namun karya mereka kebanyakannya intim dengan isu semasa dan antarabangsa, berlatarkan luar negara, terpelihara moralnya, kaya dengan unsur tauhid, rohaniah dan dakwah, menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan pastinya berdenyut selari dengan nafas Islami. Latar belakang kebanyakannya yang mendalami bidang Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab mewajarkan karya yang dihasilkan lebih rencam tetapi sentiasa murni, didaktik, terkawal dan berteraskan agama.

Justeru, kehadiran kelompok yang berlabel ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ ini adalah sangat baik demi memperkasakan sastera Islam di Malaysia, apatah lagi selepas tragedi 11 September 2001.

(dipetik dari Tunas Cipta, November 2005)

Posted at 6/16/2008 3:46:39 pm by akhimasrawi
Luahan Hati Tamu  

Wednesday, May 21, 2008
MIN HUNA ILA HUNAK 16

CATATAN KE-325

NOVEL CINTA DAN RONA KINANAH

Oleh Akhi Masrawi

SETELAH tidak berjaya menyiapkan manuskrip Novel CINTA SUFIAH yang terbengkalai, akhirnya saya memutuskan untuk menulis novel berdasarkan kepada ilham cerpen CINTA DAN RONA KINANAH yang pernah terbit dalam Majalah i beberapa tahun lalu. Malah Judul CINTA DAN RONA KINANAH pernah digunakan untuk sebuah ANTOLOGI CERPEN yang diterbitkan di Republik Arab Mesir (Egypt) yang disusun oleh Mohd Zaki dan Amiza Khusyri.

Hakikatnya judul itu adalah cerpen yang saya hasilkan dan telah berniat untuk dijadikan sebuah novel. Namun setelah tertangguh-tangguh akibat menumpukan kepada CINTA SUFIAH yang tidaklah sangat berjaya digarap akhirnya saya sudah tidak sabar lagi untuk mula menulis NOVEL CINTA DAN RONA KINANAH yang telah hampir sempurna dibentuk babak demi babak, bab demi bab dan hikayat-hikayat cinta yang sentiasa berlegar dalam kepala.

Esok adalah hari terakhir persekolahan untuk penggal 1 tahun 2008 ini. Murid-murid masing-masing terlibat dengan Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT). Saya telah menaruh azam untuk menulis sambil menanda kertas Bahasa Arab yang dijadualkan berlangsung pada Khamis. Semuanya sekali 9 kelas dengan murid purata 35-40 orang 1 kelas. Saya yakin kerja menanda tidak akan menjejaskan penulisan novel saya nanti.

Kali ini setelah melihat pengalaman lepas (gagal disiapkan sebab saya menulis terus) saya telah menyediakan story-board terlebih dahulu. Bahkan saya telah menyiapkan metode penulisannya juga sebelum semua babak dihimpunkan dalam sekitar 20 bab dan tidak termasuk Prolog dan Epilog. Novel ini saya akan tamatkan dengan jangkaan yang tak terjangkakan. Justeru khalayak nanti akan memberikan komen berbeza.

Penulisan Novel CINTA SUFIAH sudah di bab ke-8 tetapi semakin tidak dapat diteruskan hari demi hari saya sendiri kian lupa jalan ceritanya. Baca ulang pun tak dapat ilham cerita seterusnya. Inilah padah menulis terus. Kali ini saya belajar daripada pengalaman lepas. Apa yang pasti saya akan pastikan Novel CINTA DAN RONA KINANAH ini akan pasti diterbitkan tahun ini juga.

Saya teruja amat. Kata pengantarnya nanti saya akan minta daripada Sdr Nazmi Yaakub yang dahulu banyak membimbing saya. Buat masa ini saya belum menghubungi beliau. Jika beliau keberatan mungkin saya akan meminta Sdr Zaid Akhtar atau Ayahanda Azizi Hj. Abdullah.

Kepada kalian, saya harap kalian terus memberikan saya sokongan. Saya akan pastikan kalian tidak rugi menanti. Hasilnya nanti akan saya persembahkan kepada kalian.

Terima kasih.


Baitul Izzah. 

 


Posted at 5/21/2008 2:01:06 pm by akhimasrawi
Comments (12)  

Tuesday, May 20, 2008
MIN HUNA ILA HUNAK 15

HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN KE-2

Oleh Akhi Masrawi

SEDAR tidak sedar rupanya hari ini genaplah 2 tahun kami menikah. Dua tahun lalu berlangsung walimah. 2 Tahun mengecap bahagia bersama. Suka dan duka.

2 Mei 2008 yang lalu adalah hari penuh makna. Hadiah bulan Mei daripada Allah kepada kami, seorang anak lelaki yang sempurna diberi nama Ahmad Naufal Alwafi. Kami bahagia.

Salam sayang saya buat isteri tercinta Althoharoh Binti Ali dan zuriat pertama kami.


Posted at 5/20/2008 4:39:06 pm by akhimasrawi
Comment (1)  

Next Page

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan


hakcipta terpelihara 2005 - http://www.akhimasrawi.blogdrive.com/